Thursday, March 7, 2019

Dia Kekasih Allah


Assalamualaikum wbt ikhwah sekalian, baru-baru ni di UTM saya dijemput untuk memberikan sedikit perkongsian yang bertajuk “Dia Kekasih Allah”. Bagi saya tajuk ni amat sesuai untuk dikongsi bersama-sama sahabat-sahabat di Universiti dan juga kepada pembaca-pembaca blog ni. Sebelum kita pergi jauh tentang Rasulullah, Mengapakah kita kena cinta pada Nabi Muhammad S.A.W?
Kenapa Kena Cinta Nabi?
Ada beberapa sebab mengapa kita perlu letakkan cinta kepada Rasulullah SAW :-

1)      Merupakan Satu Tuntutan iman



Perlu kita fahami bahawa meletakkan cinta pada Nabi bukannya atas dasar “kemahuan” semata, tetapi ia merupakan satu tuntutan iman kepada kita orang Islam. Seperti sabda Nabi,


Dari Anas r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Tidak sempurna iman seseorang dari kamu sehingga aku menjadi seorang yang dikasihi olehnya lebih daripada ibu bapanya, anak pinaknya, dan manusia seluruhnya."

(Bukhari dan Muslim)

Allah S.W.T juga berfirman dalam Al-Quran,


Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk agamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka).

(Al-Taubah 9:24)

Mungkin ada daripada kalangan kita ada yang berkata, ”Adakah tidak boleh kami cintai kawan-kawan, keluarga dan juga harta kami?”. Suatu ketika Imam Syafie ditanya oleh isterinya, ”Wahai suamiku adakah engkau mencintaiku? ”. Jawab Imam Syafie, “Ya tentu sahaja engkau sebahagian daripada hidupku”. Mendengar itu isterinya bertanya lagi, “Apakah engkau juga mencintai Allah? Bagaimana mungkin dua cinta menyatu dalam hati seorang mukmin, Cinta kepada Allah dan juga mencintaiku?” Beliau tersenyum dan mengatakan kepada isterinya dengan pandangan mata yang lembut penuh kasih sayang, “Kerana cintaku kepada Allah, maka aku mencintai makhluk-Nya, memperlakukan dengan hormat dan penuh kasih sayang terhadap isteriku, anak-anakku dan sesama insan. Aku mencintaimu kerana cintaku kepada Allah.” Jelas disini bahawa bukan bermakna Cinta pada Allah dan Rasulnya menghalang kecintaan pada selain keduanya, tetapi kerana Cintakan keduanyalah kita cintakan yg lain, cinta yang bukan bertunjangkan nafsu dan hasutan syaitan tetapi didasari dengan iman.


Menjaga hubungan sesama makhluk sangat ditekankan oleh Allah dalam Al-Quran,


Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.
(Al-Hujurat 49:10)

Dalam Kitab Hadith 40 yang ditulis Imam Nawawi pada Hadith yang ke-13, Nabi Muhammad S.A.W bersabda dalam hadithnya,


Daripada Abu Hamzah Anas ibn Malik r.a., khadam Rasulullah SAW, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda: "Seseorang kamu tidak benar-benar beriman sehingga dia mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri." 
   
(Riwayat al-Bukhari no.13, Muslim no.45 dan Ahmad no. 18076)



Tetapi…..Hakikat yang kita lihat keadaan sekarang ni adalah umat islam memandang sesama sendiri ibarat “musuh”. Kita menerima perbezaan baik dari segi manhaj dakwah dan sebagainya tetapi jangan sampai tergadai nilai ukhuwwah. Ukhuwwah kita sesama Islam atas dasar IMANIYYAH bukan atas dasar kepartian atau puak kumpulan yang sama aliran fikrah. Kekadang sedih jugak tengok masyarakat Islam bermusuh kerana terlampau melihat titik perbezaan, tidak melihat titik persamaan yang lebih besar lagi.

2)      Akhlak baginda yang agung dan contoh tauladan umat sepanjang zaman




Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)

(Al-Ahzab 33:21)


Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang amat mulia.
(Al-Qalam 68:3)

Tidak dapat dinafikan lagi bahawa baginda adalah tokoh ikutan setiap manusia. Aisyah r.a ketika ditanya bagaimana akhlak Rasulullah? Beliau menjawab:

“Akhlaknya adalah Al Qur’an.”

(HR. Muslim)



Disini suka saya ingin menceritakan sebuah kisah yang menceritakan betapa Pemaafnya Nabi  dalam Kitab Raheequl Makhtum. Ketika hendak berlaku peperangan Uhud, Hindun bin ‘Utbah, iaitu isteri kepada Abu Sufian telah mengupah seorang hamba lelaki yang bernama Wahsyi untuk membunuh Hamzah Bin Abdul Muthalib, bapa saudara Nabi Muhammad s.a.w. Ketika perang Uhud sedang berlaku, Wahsyi Berjaya membunuh Hamzah. Kata Wahsyi, “Aku mengoncang-ngocang selidiku dan setelah ku berkeyakinan dengannya aku pun meluncurkannya. Tepat mengena sasarannya di perut, menembusi ari-ari di sebelah hadapan, beliau cuba menerkam kearahku namun beliau rebah dan jatuh mati, aku mendekatinya dank u cabut tombakku dan pulang semula ke perkhemahan untuk berehat kerana penyertaan ku tidak lebih dari tugas itu, demi untuk membebaskan diriku, setiba di Makkah aku dibebaskan”. Namun mayat hamzah tidak dibiarkan begitu sahaja, setela selesai peperangan Uhud, Hindun binti ‘Utbah membelah perut Hamzah dan mengambil hatinya di mana beliau cuba memamahnya tetapi tidak berupaya untuk menelannya, akhirnya meludahkannya semula. Kata Abdullah Bin Mas’ud, “Belum pernah lagi kami melihat Rasulullah S.A.W menangis seperti mana baginda menangis ke atas Hamzah Bin Abdul Muthallib. Baginda meletakkan jenazah Hamzah di sebelah qiblat, di situ baginda berdiri di samping jenazahnya lantas baginda menangis hingga kedengaran sedunya.”


Selang beberapa tahun iaitu selepa berlakunya peristiwa Fathu Makkah, Hindun binti ‘Utbah datang ke hadapan Rasulullah S.A.W dengan cara menyamar diri kerana takutkan Rasulullah SAW mengetahui beliau, kerana beliau masih mengingati tindakannya terhadap Hamzah. Maka Rasulullah S.A.W berkata, “Aku membaiahkan kamu untuk tidak syirik kepada Allah dengan sesuatu pun.” Kemudian kata baginda lagi, “Dan janganlah kamu mencuri”. Maka jawab Hindun, “Sebenarnya Abu Sufian seorang yang bakhil, sekiranya aku mengambil sedikit dari hartanya beliau akan terkilan”, maka kata Abu Sufian, “Apa yang engkau ambil itu halal”. Lalu baginda pun tersenyum kerana baginda sudah mengenali beliau dengan katanya, “Engkau ini Hindun?”. Jawab beliau, “Ya wahai Rsulullah S.A.W”. Katanya lagi, “Mafkanlah daku wahai Nabi Allah”. Maka Rasulullah S.A.W pun memaafkan beliau. SUBHANALLAH betapa besarnya sifat pemaaf Nabi sehinggakan orang yang telah menyebabkan baginda menangis tersedu-sedu pun apabila datang meminta maaf kepada Nabi dengan mudah dimaafkan.


Sebab itu ikhwah, kekadang kita memang ada hak untuk membalas tetapi tidakkah memaafkan itu lebih elok dan molek untuk diamalkan….

3)      Agungnya jasa dan sumbangan baginda terhadap umat baginda.

Kalau nak diulis apakah jasa dan sumbangan nabi terhadap umatnya maka  akan panjang lebarlah perbincangan kita. Cukup dengan dua nikmat iaitu Iman dan juga Islam telah dapat menggambarkan betapa besarnya jasa Nabi kepada kita. Peringkat awal Nabi sampaikan Islam tidaklah semudah seperti buat penulisan blog, hantar post2 islamik kat media sosial, dan buat poster ceramah kemudian orang ramai kumpul dengar tazkirah. Tapi perjuangan nabi begitu berliku dan amat perit untuk ditempuhi. Ketika Baginda berdakwah di Taif bersama dengan iaitu Zaid Bin Harithah. Rasulullah S.A.W berada di kalangan penduduk taif selama 10 hari dengan mengajak mereka kepada Islam. Tidak ada seorang pembesar pun yang tidak didakwahnya, tetapi sebagai jawapan mereka berkata, “Ayuh keluarlah kamu dari bumi ini”. Seterusnya mereke memprovikasi dan mengapi-apikan golongan bodoh dan hamba-hamba sahaya mereka supaya memaki hamun Rasulullah SAW malah mereka berbaris sepanjang perjalanan ke Taif untuk melontar kepada Rasululullah SAW dengan anak-anak batu disertai maki cerca dan sumpah hamun yang tidak terperi hingga pecah dan luka-luka kaki Baginda. Darah melumuri kasut baginda. Kesal baginda tidak terkira kerana tiada siapapun yang menyahut seruan dakwahnya. Kerana itu, bermujahadahlah dalam menanamkan sifat kasih dan sayang kita pada Allah dan juga Rasul-Nya….



Sekadar itu sahaja untuk perkongsian saya pada artikal kali ini. Ini hanya sebahagian yang saya kongsikan pada sahabat2 di UTM. Atas faktor masa dan lagi pula sekarang ni sedang musim test 1 di UTM, so terpaksa menulis secara berkala. Bagaimana nak datangkan kecintaan pada nabi? Baru2 ni banyak kita dengar berkaitan isu penghinaan kepada Nabi Muhammad SAW, apakah peranan kita sebagai umat Islam? In sya Allah saya akan kongsikan dalam next artikel.


Assalamualaikum wbt…..



No comments:

Post a Comment